Wednesday, 5 June 2013

NASIHAT BIZ

Ihsan - Rahman Basri
 
Ada sebahagian rakan usahawan bertanyakan saya apakah persediaan yang harus diambil sebelum berhenti kerja dan fokus kepada bisnes sepenuh masa?

Rata-rata rakan saya ini sudah memulakan bisnes mereka secara separuh masa selama 2 hingga 5 tahun. Pendapatan hasil bisnes mereka kebanyakannya sudah melebihi gaji bulanan....

Saya sukar menjawab soalan ini kerana saya tidak pernah ada pengalaman makan gaji. Sejak dari zaman universiti saya sudah belajar berniaga secara kecil kecilan. Kerap kali berulang alik ke KL untuk menghadiri seminar-seminar bisnes dan belajar mengembangkan keuntungan kecil menjadi lebih besar. Pahitnya banyak. Namun sekali kemanisan datang sudah mampu menghapuskan segala kepahitan.

Untuk menjawab soalan ini, saya pernah bertanyakan soalan serupa kepada mentor saya. Beliau mempunyai pengalaman bekerja selama 11 tahun sebelum berhenti kerja untuk menjalankan bisnes sepenuh masa. Beliau memulakan bisnes sendiri 3 tahun sebelum beliau berhenti kerja.

Ini antara persediaan yang beliau kongsikan kepada saya.

1) Ada backup simpanan selama 6 bulan.

Jika komitmen peribadi kita sebanyak RM 2000 sebulan, kita mesti mempunyai simpanan sebanyak RM 12,000 di dalam akaun bank.

Duit itu adalah duit tabung khas untuk komitmen peribadi, bukannya komitmen bisnes. Perbelanjaan operasi bisnes mestilah dibayar daripada hasil bisnes yang dijalankan sekarang.

Samada duit tabung khas ini dikumpul dari hasil bisnes atau disimpan dari gaji bulanan itu terpulang pada masing-masing.

2) Pendapatan bersih daripada hasil bisnes sekurang-kurangnya menyamai gaji yang diperolehi sekarang.

3) Mempunyai satu perancangan bisnes yang rapi. Apa pelan tindakan untuk capai matlamat untuk fasa 3 bulan, 6 bulan sehingga 12 bulan pertama bisnes diusahakan secara sepenuh masa.

Taat kepada pelan tindakan tersebut. Maksudnya komit untuk menekuni dan melaksanakannya. Paling mudah, rujuk mentor bisnes dan minta nasihat daripada mereka.

Sudah pasti perancangan bisnes secara separuh masa berbeza dengan sepenuh masa.

4) Sanggup bekerja 12 jam hingga 14 jam sehari, lebih daripada masa kita bekerja makan gaji dahulu. Ia sementara sahaja sebelum kita serahkan sebahagian kerja kepada staff.

Apabila sepenuh masa, disiplin datang dari dalam diri kita. Tiada lagi undang-undang yang mengawal kita. Segelintir pemilik bisnes ketika menjalankan bisnes separuh masa, bisnes berjalan dengan baik. Apabila sepenuh masa, bisnes jatuh. Lazimnya, ia ada kaitan dengan masalah disiplin diri.

5) Dari sudut kerohanian pula, minta restu ibu bapa dan mohon doa daripada mereka. Jaga hubungan dengan mereka berdua. Di saat ibu menitiskan air mata mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kita, Insya Allah rezeki kita tidak akan putus.

Perkongsian ini daripada salah seorang mentor saya. Lain orang, lain caranya.

0 comments:

Post a Comment