Monday 10 June 2013

BAHAGIA - part 2

APA ITU BAHAGIA?

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi
 
Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
• Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
• Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang (lihat sebahagian fakta yang dipaparkan).
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.
 
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
 
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

Thursday 6 June 2013

UJIAN

Perkataan kali ini adalah Ujian - Ihsan blogger pedoman hidup


 


Sebenarnya..antara kita sedar atau tidak...sebagai manusia , kita seringkali di uji... Ujian tersebut datang dalam macam-macam bentuk..juga datang samaada dengan ujian yang besar ..boleh atau tidak untuk kita hadapi...
Bagi seorang pelajar... pada setiap semester/tahun/penggal anda akan diuji selepas pembelajaran di buat... Apa tujuannya? Tak lain tak bukan untuk cikgu/tenaga pengajar anda tahu sejauh mana kefahaman dan kemahiran yang anda ada daripada apa yang diajarkan....

Ketika membeli ikan sekalipun... ujian tetap dilakukan oleh pembeli...picit2...tgk insang...bau...atas sebab apa? Untuk ketahui samaada ikan tersebut baru...isi keras atau sebaliknya....Jika beli ketam...ada yang ketuk2 kulitnya...mengapa? Nak tau ada isi atau lompong....

Oleh kerana itu..Allah s.w.t menguji manusia dengan pelbagai ujian semestinya bersebab... Nak menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kita dalam menghadapi ujian-ujiannya...
Allah menguji manusia atas sebab-sebab yang berbeza. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia.

Rasulullah SAW bersabda:
Ujian yang berlaku kepada manusia samada memuliakannya atau menghinakannya.

Ada tiga sebab mengapa Allah menguji manusia:

? Kifarah.
? Bala.
? Ibtila’.


1 Kifarah.
Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia diuji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan ketelanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbanding azab di akhirat.

Ringkasnya, kifarah ialah ujian untuk ‘orang baik yang terbuat jahat’. Dengan ujian itu, ‘orang baik’ tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah:
Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.(43:48 )

2 Bala
Bala adalah ujian ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian sebagai hukuman Tuhan di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan disiksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Rengkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang buat jahat’. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah diantara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum disiksa di akhirat.

Firman Allah:
Itulah hukuman dunia yang ditimpakan atasmu maka rasakanlah hukuman itu. Sesungguhnya bagi orang kafir itu ada lagi azab neraka.(8:14)
Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat. (9:74)

3 Ibtila’.
Ibtila’ adalah ujian ke atas orang baik ketika melaksanakan kebaikannya. Ia adalah tanda kasih-sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan ditinggikan derjatnya disisi Allah. Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Tuhan? Dengan ujian bentuk inilah ada dikalangan para Rasul ditingkatkan ke derjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian keatas ‘orang baik yang buat baik’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhadak dan solehin adalah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ketika menegakkan kebenaran.

Firman Allah:
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, yaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Al Baqarah: 214

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.
Dalam keadaan berdosa, ujian didatangkan sebagai pengampunan.
Dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat dan memberi pahala...

wallahua'lam..
..ada kalanya manusia diuji dengan sedikit ketakutan dan kelaparan. ALLAH berfirman bermaksud:"..Dan Kami pasti akan uji kamu dengan sedikit rasa takut , rasa lapar, kekurangan harta, kekekurangan nyawa dan kekurangan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang yg sabar..". [Al-Baqarah: 155]

Orang yang bersabar ialah orang menyakini wujudnya hari pembalasan. Justeru itu ALLAH menjelaskan dalam ayat seterusnya bermaksud: Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan; Kita milik ALLAH dan kepada kita pasti kembali.[Al-Baqarah: 156]

Orang yang tidak sabar pasti gagal dalam ujian.
Berapa ramaikah manusia yang mampu bersabar menghadapi ujian ini?
Perut lapar yang perlu diisi menjadikan manusia lupa bahawa dia akan mati.
Dia lupa bahawa segala perlakuannya akan dihisab dan dihitung serta dipertanggungjawabkan. Malah dia lupa janji seksa Tuhan iaitu pohon Zakkum yang berduri sebagai makanan dan air panas menggelegak sebagai minuman orang yang berdosa.Firman ALLAH bermaksud: Sesungguhnya pohon Zakkum merupakan makanan orang yang berdosa, seperti air panas yang menggelegak di dalam perut. Bagaimana pula dengan kita? Adakah telah bersedia untuk ke neraka???
Ujian Kehidupan Bagi Manusia

Jiwa seorang mukmin itu pastinya ditarbiyyah untuk berhadapan dengan pelbagai ujian dan kesukaran. Ada kalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan, kemewahan hidup, kejayaan dan sebagainya.

Kesenangan seperti ini walau dilihat bukanlah sesukar ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun hakikat ujian ini tidak kurang cabarannya. Seseorang yang diuji dengan kemewahan hidup, memiliki harta yang melimpah ruah dan kekayaan yang berganda tentu sahaja perlu memikirkan bagaimana dan ke mana perlu disalurkan wang dan harta yang dimiliki. Adakah untuk kegunaan sendiri dan keluarga semata-mata atau terfikirkah untuk menginfakkan ke jalan Allah?

Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian dari ujian. Walau nyata berbeza sebagaimana ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah ujian, yang akan menguji tahap keimanan seorang hamba. Perjalanan hidup bagi seorang manusia lazimnya akan melalui berbagai cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Hatta untuk mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut sekalipun, memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan.

Firman Allah :
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah : 156)

Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, dan Dialah yang berkehendak untuk melakukan apa jua perkara ke atas makhluk ciptaanNya. Manakala hamba yang diciptakan ini perlu menghadapi segala yang telah diaturkan dengan sempurna oleh Maha Pencipta dengan cara yang termampu olehnya.
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (al-Ankabut : 2)
Mukmin itu tidak cukup hanya dengan ungkapan beriman dan mengaku sebagai Islam sahaja, tanpa memenuhi tuntutan sabar dan tabah hati mengharungi ujian, sama ada ujian berupa perintah – melaksanakan kewajipan dan perintah, mahupun ujian berupa larangan yang perlu dijauhi. Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (al-Mulk : 2)

Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan tikanya lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walau seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa.

"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. Kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan : "Ini adalah dari sisi Allah", dan sekiranya mereka ditimpa sesuatu bencana, maka mereka berkata : "Ini datangnya dari sisi kamu (Muhammad)." Katakanlah : "Semuanya datang dari Allah." Maka mengapa orang-orang yang hampir tidak memahami nasihat sedikitpun?" (Al-Nisa’ : 78)

Apakah dikira segala hutang yang masih belum dilangsai, persengketaan yang belum lagi terlerai, janji yang tak tertunai, cita-cita yang masih tak tercapai, kejayaan yang belum sempat digapai mampu menangguhkan saat dan ketentuan ajal yang datang? Tidak kira sesiapapun, maut tetap datang menjemput. Sama ada ahli keluarga yang tercinta, sahabat handai yang dikasihi, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan seuniversiti, dekat mahupun jauh, ataukah diri kita sendiri yang masih terkapai dalam pencarian ini, andai telah ditentukan saatnya, akan pergi jua akhirnya meninggalkan dunia yang fana, bukan untuk seminit dua, bahkan untuk selama-lamanya. Waktu yang tak mungkin dapat diundur, lalu tinggallah segala kegembiraan yang pernah dikecapi, abadilah segala kenangan bersama, detik suka mahupun duka akan berputar kembali memenuhi ruang fikiran teman-teman yang ditinggalkan.

Saat ini disedari betapa tinggi dan bernilainya sebuah uhkuwwah dan persahabatan yang terbina. Tika ini jualah mengerti dan menghargai seorang insan yang takkan dapat lagi hidup bersama di dunia. Seterusnya, penyesalan demi penyesalan yang tidak punyai makna apa-apa…

Saidatina ˜Aisyah berkata : Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaan-Nya dan Syurga-Nya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya seksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya." (Sohih Muslim, bab Do’a, Taubat & Istighfar, 4845)

Cukuplah mati sebagai peringatan buat diri seorang mukmin. Padanya tiada yang lebih berharga di dunia, keluarga, pangkat, mahupun harta melainkan keredhaan dariNya, dan pengharapan agar dapat dipertemukan dengan Yang Maha Pencipta, pemilik segala hati manusia. Apabila mati menjadi peringatan, terlerailah segala persengketaan, bersemilah ukhuwwah dan terbinalah persaudaraan, tertunailah segala janji yang dipatri, terlaksanalah tanggungjawab dan amanah Allah, kan terlangsailah jua hutang yang terkumpul.

Peringatan buat diri yang sentiasa alpa, leka dengan nikmat dunia yang bersifat sementara, agar memperteguhkan iman dan ilmu, memperbanyakkan amal sebagai bekal, menuju ke satu destinasi yang pasti dan abadi. Bangkit dari lena, teruslah bermujahadah, thabatkan diri dalam perjuangan yang suci ini, walau diri lemah dan tidak berdaya, walau diri tidak punya apa-apa, tetapi tenanglah duhai hati seorang mukmin, yakinlah dengan janji Ilahi, kesabaran menghadapi ujian membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan……!

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?" (Al˜Imran : 142)

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar." (Al˜Imran : 146)

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan

Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa gunanya sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berkepanjangan

Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiah dari Allah

Apakah kitakan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan

SABAR

"Ya Allah berikan aku kesabaran melalui hari - hari mendatang Ya Allah, aku merayu dan bersujud kepadamu agar aku mampu dan terus kuat menghadapi setiap dugaanmu... Amin"



Sememangnya Allah s.w.t mendatangkan musibah/dugaan kepada hambanya untuk menguji dan melihat keimanan seseorang umatnya. Ketika ditimpa musibah macam-macam perkara yang mungkin terlintas dalam fikiran.. tekanan perasaan, tekanan suasana .. Jika tidak kuat pasti syaitan datang menghimpit ,,dan tindakan luar akal akan dilakukan...

Dalam menjalani kehidupan dengan tanggungjawab yang patut dilakukan ...saya juga manusia lemah yang tidak terkecuali di beri ujian yang maha besar ... Kepada Allah s.w.t tempat mengadu nasib dan memohon pertolongan... pernah bilamana meminta pertolongan dengan manusia , ada antaranya didepan manis bermadu.. sebaliknya menjaja cerita dari mulut ke mulut yang ditokok tambah sebagai penyedap rasa...dan tidak dinafikan alhamdulillah ada juga teman sejati benar2 ikhlas..yang sentiasa hadir saat suka dan duka..yang. sekurang-kurangnya sebagai pendengar dan penasihat meredakan tekanan yang di hadapi.....

Dalam menghadapi apa juga cabaran/situasi saya pelajari..perlunya banyak2 bersabar...muhasabah diri...pandang kepada yang positif... "perkara ini berlaku sebab ini..ini ...supaya lain kali aku berhati-hati... aku tak melakukan perkara yang sama"... Jika benar kita tersilap langkah/bersalah kena akur dan mengaku... mohon maaf dan perbaiki.. Rasa lega apabila Allah berikan Rahmat dan pertolongan ...berkat kesabaran... kebenaran telah terserlah akhirnya ..ini bukan soal menang atau kalah...soal siapa benar siapa salah tetapi ada kalanya berkaitan maruah dan harga diri...apapun yang penting harga diri dan kasih sayang di sisi Allah s.w.t itu yang utama..... Memang benar terbukti dan masih kukuh menjadi pedoman buat diri ini.. " Jaga hubungan dengan Allah....dan Allah akan jaga hubungan kita dengan sesama manusia"

Wednesday 5 June 2013

NASIHAT BIZ

Ihsan - Rahman Basri
 
Ada sebahagian rakan usahawan bertanyakan saya apakah persediaan yang harus diambil sebelum berhenti kerja dan fokus kepada bisnes sepenuh masa?

Rata-rata rakan saya ini sudah memulakan bisnes mereka secara separuh masa selama 2 hingga 5 tahun. Pendapatan hasil bisnes mereka kebanyakannya sudah melebihi gaji bulanan....

Saya sukar menjawab soalan ini kerana saya tidak pernah ada pengalaman makan gaji. Sejak dari zaman universiti saya sudah belajar berniaga secara kecil kecilan. Kerap kali berulang alik ke KL untuk menghadiri seminar-seminar bisnes dan belajar mengembangkan keuntungan kecil menjadi lebih besar. Pahitnya banyak. Namun sekali kemanisan datang sudah mampu menghapuskan segala kepahitan.

Untuk menjawab soalan ini, saya pernah bertanyakan soalan serupa kepada mentor saya. Beliau mempunyai pengalaman bekerja selama 11 tahun sebelum berhenti kerja untuk menjalankan bisnes sepenuh masa. Beliau memulakan bisnes sendiri 3 tahun sebelum beliau berhenti kerja.

Ini antara persediaan yang beliau kongsikan kepada saya.

1) Ada backup simpanan selama 6 bulan.

Jika komitmen peribadi kita sebanyak RM 2000 sebulan, kita mesti mempunyai simpanan sebanyak RM 12,000 di dalam akaun bank.

Duit itu adalah duit tabung khas untuk komitmen peribadi, bukannya komitmen bisnes. Perbelanjaan operasi bisnes mestilah dibayar daripada hasil bisnes yang dijalankan sekarang.

Samada duit tabung khas ini dikumpul dari hasil bisnes atau disimpan dari gaji bulanan itu terpulang pada masing-masing.

2) Pendapatan bersih daripada hasil bisnes sekurang-kurangnya menyamai gaji yang diperolehi sekarang.

3) Mempunyai satu perancangan bisnes yang rapi. Apa pelan tindakan untuk capai matlamat untuk fasa 3 bulan, 6 bulan sehingga 12 bulan pertama bisnes diusahakan secara sepenuh masa.

Taat kepada pelan tindakan tersebut. Maksudnya komit untuk menekuni dan melaksanakannya. Paling mudah, rujuk mentor bisnes dan minta nasihat daripada mereka.

Sudah pasti perancangan bisnes secara separuh masa berbeza dengan sepenuh masa.

4) Sanggup bekerja 12 jam hingga 14 jam sehari, lebih daripada masa kita bekerja makan gaji dahulu. Ia sementara sahaja sebelum kita serahkan sebahagian kerja kepada staff.

Apabila sepenuh masa, disiplin datang dari dalam diri kita. Tiada lagi undang-undang yang mengawal kita. Segelintir pemilik bisnes ketika menjalankan bisnes separuh masa, bisnes berjalan dengan baik. Apabila sepenuh masa, bisnes jatuh. Lazimnya, ia ada kaitan dengan masalah disiplin diri.

5) Dari sudut kerohanian pula, minta restu ibu bapa dan mohon doa daripada mereka. Jaga hubungan dengan mereka berdua. Di saat ibu menitiskan air mata mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kita, Insya Allah rezeki kita tidak akan putus.

Perkongsian ini daripada salah seorang mentor saya. Lain orang, lain caranya.